J dalam kenangan [Part 2]


Pendengar dan penasihat yang baik juga pemaaf a.k.a. ahli syurga

Dia selalu sahaja bersedia mendengar “keluh kesah kak esah” saya… kalau awal-awal perkenalan di universiti, dia selalu mengulang ungkapkan dalam bahasa inggeris, bermaksud, “Kalau jatuh dalam hidup, ia sekadar jatuh, dan kamu hanya perlu bangun kembali.”

Setelah tamat pengajian pun kami selalu berchatting. Duduk berjauhan pun masih rasa bersembang berdepan. Malah makin kerap berchatting sejak dia ditugaskan ke Pakistan, hampir setiap malam, ada sahaja tanda bulat merah itu disebelah namanya di ruang sembang facebook, saya akan menegur dia. Kadang-kadang tengah bersembang dia minta diri menukarkan lampin anak sulung, setelah isterinya Baya baru sahaja melahirkan anak kedua. Terbaru sekali kami bersembang mengenai rancangan staf-staf kedutaan Pakistan membuat lawatan cik kiah ke Kashmir dibatalkan dan dia mahu cepat-cepat membeli tiket pulang ke Malaysia menghadiri kenduri rakan setugas di Melaka, dan saya pula kagum dengannya yang mempunyai banyak wang simpanan, dan dia sekadar membalas kerajaan Malaysia yang menanggung dan dia hanya perlu membayar dari simpanan sendiri untuk tiket penerbangan Baya dan dua anak-anaknya.

Pernah baru-baru ini juga saya merungut mengenai rakan lama kami yang sengaja menjauhkan diri daripada kami sejak berumahtangga, seolah tidak mahu ada kaitan lagi dengan kawan-kawan yang tahu sejarah silamnya. Saya pula memberitahunya saya pun pernah terfikir begitu, berhijrah ke New Zealand, berkahwin, berkeluarga dan tidak pulang-pulang lagi ke Malaysia. Saya amat tersentuh sekali apabila dia pula membalas, jika saya melakukan seperti kawan kami kepadanya (sengaja menjauhkan diri tanpa khabar berita) dia pasti akan benar-benar sedih… saya terdiam sekejap, sebelum saya menyambung [alamak, air mata nak keluar masa taip ni] bahawa saya bergurau dan dah lama mematikan niat itu. Malaysia adalah kampung halaman saya dan tak mungkin saya akan membelakangkan keluarga, kawan-kawan dan kenangan saya.

Saya pernah bersalah kepada dia (yang tahu, tahulah) dan saya pernah beberapa kali menjauhkan diri daripadanya kerana saya sangat malu kerana telah melukakan hati dia kawan rapat saya, tapi dia tidak sekali-kali izinkan. Dia akan sentiasa cuba merapatkan kami kembali, membaca blog saya dan memberi maklumbalas, berchatting, memberi komen-komen di facebook dan menelefon saya barang ada kelapangan… saya tahu dia dah lama maafkan saya, namun saya kesal sikap saya yang tidak dapat memaafkan diri sendiri akhirnya menyebabkan dirinya susah hati  😦

Baya isterinya; mawarnya

Saya tidak pernah diberitahu mengenai mawarnya sepanjang pengajian di UIAM, cuma seingat saya, sewaktu saya masih terkial-kial menghabiskan semestar akhir di UIAM, Husni pernah mengajak kami keluar ke bandar menaiki Wira yang dipandu Husni, dengan dia dan mawarnya duduk di tempat duduk belakang. Saya tak ingat pun samada saya sempat menoleh pada wajah mawarnya itu. Cuma saya berkira-kira dia pasti jenis sopan sebab tak berkata sepatah pun semasa di dalam kereta. Saya cuma ingat dia pernah memberitahu bahawa bakal iparnya sangat suka membaca blog nya.

Dia akhirnya berkahwin jua dengan mawarnya itu, dan saya sangatlah terkilan tidak dapat menghadiri kedua-dua belah majlis kenduri di Shah Alam mahupun di Setiu. Hanya gambar-gambar perkahwinan di friendster menjadi tatapan. Dia pernah menceritakan kenduri di sebelah Setiu adalah paling trauma bagi dirinya, dan dia tidak mahu ingat apa-apa pun mengenai majlis perkahwinan mereka hahaha. Setelah mawarnya menamatkan pengajian dengan berbadan dua, mereka terbang pula ke Pakistan tidak lama selepas anak sulung mereka dilahirkan, dan saya secara fizikal semakin jauh daripada dia.

Dia pernah bertanya kepada saya baru-baru ini semasa berchatting, perempuan bagaimanakah yang saya inginkan untuk menjadi suri di hati saya, dan saya hanya menjawab ringkas, “Bertudung melepasi bahu, dan berstokin lengan! Saya takde masa nak didik isteri nak berpakaian itu ini, saya takut dia menukar gaya pakaian hanya kerana saya yang menyuruh, bukan kerana kesedaran sendiri…” Dia pula membalas dia pernah bercitarasa sebegitu, maksud saya mengimpikan perempuan yang sedia maklum tanggungjawab terhadap Tuhan sebagai isteri. Dan dia mengkhabarkan kepada saya betapa dia sangat berbangga dan bertuah Aini Nurbaya isterinya merupakan orang yang sangat teguh dengan pendirian agamanya. Dia pernah menceritakan betapa isterinya tidak mahu terlibat dengan aksi tari-menari malah mengeluarkan suara yang lunak di hadapan bukan mahram pun isterinya tidak mahu, sedangkan isterinya pun bukanlah lulusan bidang agama dan dia sangat-sangat berbangga dengan isterinya, malah membela dan menghormati tindakan isterinya, dan selalu juga menceritakan kembali di dalam blognya.

Banyak juga insiden kelakar saya alami berkaitan cik mawar ni bila dia ada di sisi. Pernah dia mengomel-ngomel kepada kami yang mengikuti mawar dari belakang yang terkedek-kedek jauh ke hadapan menolak stroller dengan Nadaa didalamnya sewaktu hari Baya mengambil jubah konvo, “Ha, tengok! tengok! Nak show off la tu dengan kawan-kawan dia yang dia dah ada baby!” Haha

Dan beberapa insiden juga dia ber-‘aku kau-aku kau’ dengan Baya, kasar dan sweet dalam masa yang sama. haha

Dan ada lagi la yang saya segan nak bagitau di sini hahaha

Saya bertambah kenal Baya melalui cerita sepupu rapatnya Siti a.k.a. Along yang juga junior lawyer di firma guaman tempat saya bekerja sekarang. Paling saya tidak lupa, apabila saya menceritakan kedegilan dia kepada Siti yang dia tak mahu lagi menunggu salah seorang saudara mereka yang sepatutnya mengambil mereka di KLIA sejurus tiba dari Islamabad, dan dia menceritakan bagaimana Baya memarahi dirinya sambil memukul-mukul dia dan menangis tanda merajuk semasa mereka duduk bersebelahan menunggu ketibaan saudara mereka itu kerana dia masih berdegil mahu pulang sendiri, malah saya sendiri terkejut dengan tindakan dia yang berkeras dan akhirnya meninggalkan jua Baya yang sarat mengandung anak kedua menunggu saudara mereka itu yang masih dalam perjalanan dengan nadaa berseorangan di KLIA.

Siti sangatlah marah mendengar cerita saya yang pada niat asal saya sekadar berkongsi ragam tak betul dan putus wayar rakan karib saya itu, namun Siti mula membuka cerita kisah kedukaan Baya sewaktu kanak-kanak dan betapa mereka sangat rapat disebabkan kedukaan itu dan Siti sampai mengalirkan air mata menyatakan betapa tak patutnya dia buat begitu pada Baya. Saya akhirnya serba salah dan menghantar sms memberitahu dia bersiap sedia kerana Siti akan “membelasahnya”, dan dia membalas, “Kenapa kau bagitau?????” haha dia… dia….

Malam itu… malam 1 haribulan Mac, 2011

Akhirnya saya tiba pada malam itu, malam Rabu.

Malam itu saya berada di UIAM di salah sebuah kelas di HS untuk sesi latihan kami menjelang pertandingan pantun bestari di Universiti Malaya pada Jumaat itu bersama-sama pemantun-pemantun junior… seperti biasa, pada awal-awal latihan saya akan memberikan mereka latihan menjawab, dan saya akan komen sana-sini. Dan menjelang 11 lebih saya pun penat dan mula membuat muka comel meminjam laptop salah seorang junior untuk melayari facebook dengan wifi percuma UIAM. Junior-junior pula sambung membaiki pantun-pantun soalan sana sini.

Tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi, dan nama pemanggil yang naik ialah nama…. Siti???? Dan saya lihat jam di laptop amboiii, lagi 2 minit ke pukul 12 tengah malam?? Hai, apa pula kerja-kerja pejabat yang mengganggu sampai ke jauh malam ni? Bos tengah mencapai tahap gila maksimum ke mengganggu kami di pagi-pagi buta begini?

Belum sempat Siti mengucap salam, saya terus mengajukan soalan dengan kuat dan sinis, “HAAA…. LAGI 2 MINIT PUKUL 12, NAK APEEE???” Tanpa saya dapat agak, ia adalah panggilan terpenting dalam hidup saya.

Dengan nada risau yang amat, Siti bertanya, “Dah dengar ke???”

“Dengar apa?” tanya aku.

“Jay..!! Jay eksiden…!! Jay meninggal…!”

“Hahh?? Ko biar betul???!!”

“Betul laa….” Siti dah mula menangis, “Abang dia call tadi,”

Aku dah gelabah….

“Habis tu, ermmm…………… aaa…..” tak tahu nak tanya apa.

“Baya?? Nadaa?? budak-budak tu?” tanya aku, teringat tiba-tiba.

“Tak tau…. tak tau….! Tak tau nak confirmkan dengan siapa…!! Abang dia call tadi sekejap je, nangis-nangis .. then letak.”

“Ermm… ok2… nanti aku try call sapa-sapa… nanti aku call balik k!”…. aku dah mula gelabah, junior-junior dah tercengang-cengang tanya kenapa.

“Kawan baik aku meninggal?? Ya Allah..!” Aku sendiri tak percaya dengan apa yang aku ucapkan.

Dalam kepala aku masa tu hanya teringat Syed Zul, kawan rapat kami. Telefon dekat 10 kali tak angkat-angkat! arrggghh!! geram, geram!! Tidor mati ape… aduhhhh

Tiba-tiba tergerak nak buka laman facebook dia….

… dan masa inilah jantung aku bagai direntap jatuh kebumi………………………………………………..

 

Ya Allah, dah dekat 10 ucapan takziah tertulis di wall facebook dia…

Aku gagahkan diri scroll down, ada gambar dia dari belakang sedang memandu, di-upload oleh Baya dan di tag pada nama dia, dengan caption, “Abg driver please drive carefully..”

Di bawahnya ada status olehnya memberitahu dia dalam perjalanan ke Setiu, daerah yang bongsu.

Atas sahaja daripada gambar terakhirnya sudah tertera status oleh kakak iparnya bahawa dia sedang koma dan dipohonkan doa agar dia selamat… dan selang beberapa komen daripada status itu, pengumuman oleh kakak iparnya sendiri yang dia sudah meninggal dunia….

Saya bingung…. sangat-sangat tak percaya.

Tak mahu percaya, tak mahu ucapkan takziah lagi! Tak nak! Tak nak!!!

Malah saya ingat status yang saya tulis pada wall dia ialah,

“Dear, i’m sorry im not ready to say goodbye, not this early (-_-)”

Syed Zul call tak lama lepas itu… dia pun bingung.

Husni menangis dalam telefon…

Saya?

 

2 thoughts on “J dalam kenangan [Part 2]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s