J dalam kenangan [Part 3 – Finale]


Junior-junior pantun sempat mengucapkan takziah dan berkongsi rasa kesedihan sebelum masing-masing pulang meninggalkan medan latihan pada pagi itu, dalam jam 1.30 a.m. lebih…

Hati saya masih kosong dibalut rasa kebingungan…

Soalan-soalan seperti,

‘Biar betul?’

‘Ya Allah J, ko dah takde?’

sentiasa bermain di benak fikiran setiap kali mengimbas rakaman wajah-wajah cerianya di album facebook dia…

Sebelum sempat pintu rumah dibuka satu panggilan dari rakan lama menyusul, Hayani, rakan kami yang sememangnya di MRSM Besut menyatakan hasratnya untuk menghadiri ucap selamat pergi terakhir untuk dia.

Aku? Ya Allah, memang dalam hati hendak pergi, tapi apakan daya… perjalanan sangatlah jauh dan asing bagi saya untuk ke sana…

Tidur pun tak lena berselang nada dering pesanan ringkas teman-teman rapat yang masuk antara lain berbunyi,

“I can’t stop crying…”

“Jay dah mati…?”

Aku…?

Pagi seperti biasa ke pejabat, saya khabarkan kepada teman-teman sepejabat yang sempat menyiapkan malah telah pun menggayakan dua atau tiga pasang baju-baju kurung atau baju kurta malah blouse daripada kain kapas Pakistan kiriman dia kepada saya untuk saya jual semula…

Semuanya terkejut, kenapa tidak?

Seharian di pejabat tidak pun dapat menumpukan pada kerja-kerja, malah setiap detik pun mahu melihat-lihat laman facebook dia, entah, untuk benar-benar meyakinkan diri atau apa, bahawa dia benar sebenar-benarnya telah pergi.

Syed Zul pada malam sebelumnya mengagumkan aku dengan ketabahannya menyatakan akan ke pejabat seperti biasa, memaklumkan betapa terlalu sedihnya dia untuk ke pejabat hari itu, memandu ke sana sini, ke UIAM, pulang pula ke rumah… kebuntuan… tewas akhirnya.

Daripada 10, menjelang tengahari sudah berpuluh-puluh ucapan takziah diterima, yang melahirkan rasa terkejut tidak kurang banyak juga…

… blog-blog teman beliau sudah mula melakarkan belasungkawa buat dia, bersama titipan memori bersama…

dalam pada saya rasakan saya dan dia adalah teman rapat, Ya Allah betapa ramai lagi punya cerita-cerita sendiri yang istimewa bersama dia! Ramainya TEMAN RAPAT dia!

Semua berkongsi cerita yang pokoknya sama, betapa baiknya dia… betapa peramahnya dia… betapa itu, betapa ini…

Kagum, malah bangga sempat berkenalan dan bersahabat dengan dia.

Teman-teman ada yang berkongsi gambar-gambar semasa pengebumian dia, petikan berita Buletin 1.30 mengenai dia… semuanya bagai ‘teamwork’ rangkaian dia daripada pelbagai peringkat yang sama-sama memberi maklumbalas terkini mengenai dia;

rangkaian yang terdiri daripada keluarganya, ipar duainya nan berpuluh-puluh;

rakan sekampungnya, satu sekolahnya nan berpuluh-puluh lagi;

rakan seuniversiti nan beratus-ratus;

rakan sekerja nan beratus-ratus lagi; teman sePTD, di Port Dickson, di Kuala Terengganu apatah lagi di Islamabad!

Malah diberitakan kenderaan-kenderaan diletakkan di bahu jalanraya di rumahnya mencapai satu kilometer panjangnya…. terlalu ramai mengalahkan kenduri kahwin mana-mana penduduk kampung di situ!

Paling tidak percaya, bertambah-tambah pula orang yang hanya mengetahui mengenai dia selepas pemergian dia berkongsi rasa di blognya… tambah-tambah pula di entri di blognya meraikan anak keduanya Marwa bertajuk “Catatan Buat Anakanda Kedua” ! Allah, orang yang hebat seperti dia engkau pinjamkan untuk terus kami mengagumi hambu-Mu yang terpilih ini!

Teman-teman peguambela sudah mencadang-cadangkan tindakan undang-undang yang akan diambil ke atas empunya kuda yang terkorban dalam nahas itu. Ramai yang mengangkat tangan memberi bantuan guaman sukarela, ramai lagi mengangkat tangan memberi sokongan.

Nombor-nombor akaun bank dipanjang laungkan kepada semua buat mengumpul dana kilat untuk disampaikan kepada mawarnya, malah terus sahaja cadangan satu dana ditubuhkan untuk faedah anak-anak dia, puteri nadaa dan puteri marwa diuar-uarkan… owh, betapa ramainya menyayangi dia!

Aku…?

Aku masih tenang mengkhabarkan kepada teman-teman rapat yang jarang ber’fb’ atau yang belum ku lihat kelibat mengucapkan takziah di laman fb dia… ramai juga yang belum tahu semasa aku menghubungi mereka mengkhabarkan pemergian dia, buat hatiku jadi sayu dengan rasa terkejut mereka, daripada ceria terus terdiam, daripada spontan terus sebak kaku untuk terus berkata-kata…

Dia selamat dikebumikan pagi itu, tanpa aku sempat mengiringi pemergian dia.

Esok muka depan akhbar bercerita mengenai dia, ada yang mengarut malah ada yang tak kena tempatnya… semua pun kecewa, dalam sedih memarahi empunya angkara.

Aku…?

Masih belum lagi menangis, Ya Allah bila aku nak menangis ni????? Hairan menyelubungi diri…

Akhirnya,
sesudah solat zohor di surau pejabat,
barulah lidah benar-benar mengakui kesedihan hati…
barulah saya sedar saya belum berdoa mengiringi pemergian dia…
barulah saya faham saya belum lagi menerima pemergian dia sebelum itu…
lalu berderailah air mata
dalam doa saya untuk dia
supaya Allah mengampunkan dosa dia…
supaya Allah meringankan azab kubur dia…
supaya Allah merahmati ruh dia…
supaya Allah tempatkan dia bersama-sama para solihin…
tambah berderu-deru air mata,
bila saya doakan mawarnya diberikan ketabahan…
diringankan menghadapi ujian…
dicampakkan kesabaran membesarkan kedua-dua nadaa dan marwa anak yatim
Allah!

Hari-hari berganti,
Minggu-minggu begitu juga.
Hari ini genaplah 2 minggu dia pergi.
Sabtu lepas, dalam majlis tahlil rakan sekuliah, abang kembar dia, Lutfi atau Pi memenuhi jemputan.
Sumpah, bukan tak pernah jumpa Pi sebelum itu (pertemuan pertama dan terakhir lebih 5 tahun lalu), malah boleh sahaja membezakan kedua mereka dengan mudah…
Tapi malam itu, semua yang Pi lahirkan; daripada gaya percakapannya, riak wajahnya, renungan matanya, ketawanya, bahasa tubuhnya… Ya Allah, memang seolah-olah dia yang berada di hadapan mata, malah teman-teman lain semasa majlis pun mengakui sebegitu rupa.

Kelakar dia pun sama, sempat berjenaka sepatah dua dan pecah berderai hilai tawa kami dalam kerinduian kepada dia! haha

Hari berikutnya menziarahi mawar dan dua puteri mereka.
Nadaa gembira dimanjai Pi, bapa saudaranya.
Berbahasa inggeris sepatah dua, “No.. no.. no!” “Bird! Bird!”, teringat pula luahan dia bahawa satu hari nanti anak-anak saya mesti pandai berbahasa inggeris kerana saya berhijrah ke New Zealand, dan pasti anak-anaknya sukar berkomunikasi dengan anak-anak saya. haha

Dalam gembira dengan telatah Nadaa dan anak Pi, si Umar… entah macam mana bercerita¬† panjang pula Tok Mama; ibu mawar kepada saya mengenai dia, terbawa-bawa dalam kesayuan,
sampai akhirnya saya mengucapkan selamat tingggal dalam rasa kosong yang kembali menghantui… dengan hujan lebat di bumi Shah Alam mengiringi…
Sedih uollss! Adoi! haha

Itulah dia, sahabat saya, yang lahir sama bulan dengan saya, dengan pesanan terakhir dia “hidup antara syukur dengan sabar” yang saya akan ingat sampai bila-bila, yang saya dan teman-teman lain panggil Jay, dan dia berusaha menukarnya kepada Ahmad menjelang semester-semester akhir pengajiannya (dan dia berjaya, tapi tidak kepada kami hehe)… dialah sahabat saya, sahabat kamu, sahabat kita semua.

Selamat jalan sahabat,
damailah kamu di sana.
Dalam rindu kepada kamu, kami pasti menyusul jua,
entah esok,
entah lusa,
entah bila-bila…
WAN AHMAD FADZIL BIN WAN MOHD, selamat jalan selamanya!

(^_^)/

2 thoughts on “J dalam kenangan [Part 3 – Finale]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s