Perkara Pantun #1 : Pantun dan Aku, Aku dan Pantun


Pantun dan aktiviti yang berkaitan dengannya; mengarang, berlatih menjual-membeli, menyertai pertandingan berbalas berbalas pantun sebagai penyokong pasukan sendiri mahupun sebagai peserta telah aku lalui seawal darjah tiga.

Tahun 1991
Pantunnya tidak lagu aku ingat, namun pujian dan galakan seorang guru kelas kepada kanak-kanak berumur 9 tahun itu masih lagi terbayang-bayang di minda setelah aku menyiapkan serangkap pantun empat kerat lebih 22 tahun yang lalu. Ia terhenti setakat itu sahaja sehinggalah di tingkatan 5 di KISAS, Klang aku terpilih bersama 3 lagi rakan sebaya untuk mewakili sekolah dalam pertandingan berbalas pantun peringkat daerah Klang pada awal tahun 1999.

Tahun 1999
Dipendekkan cerita kami berjaya ke peringkat akhir. Masih aku ingat lagi salah seorang juri pada masa itu ialah Cikgu Ahmad Sarju [masa tu aku tak berapa nak menghargai kewujudan insan bernama Cikgu Ahmad Sarju ini]. Pertandingan berlangsung penuh ceria kerana jawapan-jawapan pantun yang kelakar dan gaya-gaya penyampaian pantun penuh dramatik budak-budak sekolah. Faham-faham sahajalah. Dengan kusyen berbalut kain baldu merah tempat aku duduk bersila jarum penitinya entah salah letak atau “sihir” pihak lawan mencucuk punggungku, terus sahaja ku alihkan ke tepi dan duduk di atas lantai pentas pertandingan haha.

Kami menjuarai pertandingan tersebut. Malangnya, tiada pertandingan peringkat negeri tahun itu, apatah lagi peringkat kebangsaan yang mempertaruhkan Piala Sirih Pulang ke Gagang yang menjadi idaman semua sekolah menengah seluruh Malaysia dalam arena pantun. Tahun 1999 ialah tahun SPM kami dan mencari nahas juga jika pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan dijadualkan seperti biasa. Makan sumpahan cikgu-cikgulah kami yang ponteng kelas memanjang demi memperuntukkan masa untuk latihan demi latihan. Setakat peringkat daerah pun berdesing telinga disindir ustazah-ustazah haihh~ fobia ok!

pantun kisas 2

Bersama pasukan dan penyokong. Semua dah jadi mak dan bapa budak [kecuali aku] haha

pantun kisas 3

Anorexia nya kami~

pantun kisas

Bersama-sama guru-guru penasihat yang aku dah tak ingat nama selepas dinobatkan juara.

Owh, aku masih mengikuti perkembangan pantun KISAS ketika di universiti. Tahun 2000 KISAS Naib Johan dan dinobatkan Pemantun Terbaik Piala Sirih Pulang ke Gagang. Tahun 2001 pula….. JOHAN! Yeay! [lepas tu tak ambil tahu dah~]

2014-03-19 07.13.18

Keratan akhbar. Kisas Naib Johan dan Pemantun Terbaik pada Piala Sirih Pulang ke Gagang tahun 2000.

2014-03-19 07.14.04

Keratan akhbar. KISAS Johan Piala Sirih Pulang ke Gagang tahun 2001.

2014-03-19 07.14.42

Keratan Akhbar. Piala Sirih Pulang ke Gagang 2001.

Tahun 2001-2006
Kesinambungan pantun terus bersambung di peringkat universiti pula. Latihan pertama yang ku hadiri bersama senior-senior telah ditemani rakan baik yang telah pergi; Allahyarham Wan Ahmad Fadzil a.k.a. J. [cerita rakan baik saya ini pernah saya ceritakan di sini: Part 1, Part 2 dan Part 3) sewaktu di tahun pertama pengajian undang-undang di UIAM. Di sinilah aku mengenali Nizam, Johan, Kak Nora, Abang Syed Faisal dan juga senior hebat kami yang telah turut dijemput pergi, Allahyarham Hisham Musa.

Pada waktu ini merupakan “turning point” penting dalam arena pantun kami. Kami diajar meninggalkan dan melupakan cara penyampaian pantun “style” budak-budak sekolah, mengarang pantun yang lebih “pantun”, menjawab soalan dengan tepat bukan sekadar “menuju wawasan”, “insan madani” mahupun “beraja di jiwa”. Paling menggelatarkan lutut, hari pertama latihan kami terus sahaja diminta jangan pegang kertas dan alat tulis dan diminta menjawab pantun secara spontan dalam kepala! Memang nak terkencing rasanya.

Alhamdulillah kami ditakdirkan mewarisi rekod-rekod gemilang abang dan kakak senior kami sebelum itu. Jadi apa yang kami perlu kekalkan atau tinggalkan dalam bab-bab kepantunan sudah tersedia di benak minda senior kami untuk mereka ingatkan kami setiap kali latihan. Pada tahun 2002 kami berpuas hati sebagai Naib Johan menentang USM yang membariskan Ahmad Fedtri Yahaya sebagai salah seorang permantunnya. Beliau turut dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik pada pusingan akhir tersebut! Dia memang power lah tak boleh nak kata apa hehe

pantun 1

Pesta Pantun MAKUM 2002. USM sebagai Johan dan Fedtri Yahya dinobatkan Pemantun Terbaik.

pantun 2

Kami berpuas hati dengan Naib Johan. [Kiri : Nizam, Abg Syed Faisal, Kak Nora, Allahyarham Hisham Musa dan akak tak ingat nama. Duduk : aku]

Bermula daripada mengiringi rakan-rakan sepasukan sehinggalah menyertai sendiri pertandingan-pertandingan berbalas pantun sebagai keempatan utama mewakili UIAM, alhamdulillah walaupun ada prestasi turun naik, kami sempat juga membawa pulang kemenangan-kemenangan buat UIAM. Pencapaian aku yang paling teruk dan diingati sepanjang zaman ialah tidak bangun sehinggalah masa menjawab tamat ketika peringkat saringan Pesta Pantun MAKUM 2006 dengan UIAM sendiri sebagai tuan rumah! Aduhh~ Pasukan UIAM sendiri tidak berjaya melepasi saringan untuk ke peringkat seterusnya. Terasa “hampeh” berminggu-minggu selepas itu haha

Kejuaraan yang sempat kami rakamkan semasa pengajianku ialah pada 2003 sebanyak dua kali iaitu sewaktu Pertandingan Berbalas Pantun sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara dan juga Pesta Pantun Piala Canselor anjuran MMU Melaka. Rasa wow dan ria’ dengan junior-junior selepasku, mengapa? haaa… baca lagi~

pantun 4

Selepas menjuarai Pesta Pantun Piala Canselor MMU Melaka 2003. Abang Izwan Azir merupakan keempatan utama.

pantun uiam

Menjuarai Pertandingan Berbalas Pantun Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2003. Kak Flora Ilyana yang kini aktif menghakimi pertandingan-pertandingan pantun pelbagai peringkat mewakili UPM ketika pentas akhir itu.

pantun 3

Menghantar 2 team ke Pesta Pantun Piala Canselor 2005, namun rezeki memihak team Junior yang dibarisi Abu Sufyan, Ros, Zana dan simpanan tak ingat nama aduihh berjaya sebagai Naib Johan di percubaan pertama mereka mewakili UIAM.

Tahun 2007-2009

Pada tahun-tahun terawal membina kerjaya ini aku macam “terpukau” dengan aktiviti kezapinan dan sekadar menyibukkan diri dengan latihan dan persembahan tarian bersama-sama junior-junior UIAM di bawah kumpulan Nafastari di dalam mahupun di luar universiti [geli tak?]. Entah mengapa macam tak sempat nak turun latihan pantun atau tak terfikir atau macam mana pasal pantun dan perkara-perkara berkaitan kepantunan di UIAM haha Sehinggalah pada suatu malam ketika sedang berlatih zapin aku mewariskan kesemua buku-buku berkaitan pantun sewaktu zaman-zaman pengajian di UIAM [terselit juga buku-buku zaman sekolah] kepada Ika di dewan CAC, UIAM dan aku pesan dengan nada serius, “Jangan hilang!”, dan dibalas spontan oleh seseorang yang tembam ala-ala muka Marlina Mustafa dengan muka tak puas hati beliau “Eeeee garangnyeee!!!!” yang aku tak berapa ingat secara tepat bilakah ia berlaku. Yang pasti masa tu aku belum rasa nak tengok-tengok team pantun UIAM berlatih lagi sekadar mengikuti perkembangan di hujung-hujung telinga sahaja hehe

Tahun 2010-2013

Haa masa 2010 inilah yang benar-benar secara “rasmi” aku tolong-tolong train junior. Untuk pengetahuan pembaca budiman, UIAM tidak pernah “menggaji” jurulatih pantun secara rasmi sejak awal penglibatan UIAM dalam arena pantun, semuanya bantuan abang-abang dan kakak-kakak senior yang akan turun membantu adik-adik barang ada kelapangan. Dan aku pun dengan gediknya dah macam tak ada kerja lain nak buat menghabiskan umur bujang trang tang tang bak kata orang menolong-nolong mana yang perlu. Tu sebab macam berdesing sikit telinga aku kalau orang kata aku ni “trainer” team pantun UIAM kalau warga pantun terutamanya dari universiti-universiti lain yang menyebutnya sebab isu kesukarelaan dan ketiadaan hitam putih rasmi dari pentadbiran UIAM sendiri. Tapi kalau selain warga pantun yang tiada kait mengait dengan pantun secara langsung atau tidak, memang mulut ini ringan sahaja sebut, “Owh saya train team pantun UIAM blablabla,” sebab tak mahu dikatakan tak sedar diri dah grad buang masa lagi di UIAM haha! [terutama sekali bila mak ayah sendiri yang bertanya, macam pantun lebih penting dari kahwin dan bertahun-tahun mengenali junior akhirnya tiada satu pun dapat dibawa pulang sebagai menantu buat mak ayah haaa pening pening!]

Nak dipendekkan cerita, aku “berjaya” juga [kononlah] membuang “kewajipan bidaah” apa yang junior-junior panggil “style UIA” sewaktu membina pantun dan membebaskan pemikiran mereka kepada bentuk-bentuk pantun standard yang sedia ada nan pelbagai, luas, mudah dan mengesankan di jiwa dan sanubari rakyat-rakyat biasa. haaaa over di situ~

pantun 32

Naib Johan Pesta Pantun MAKUM 2010; membariskan Fifi, Izwan, Nadeeah Ajman dan Maryam Jamilah. Nadeeah turut dinobatkan Pemantun Terbaik. Turut berada dalam gambar 3 lagi ahli Quartet Terhebat iaitu [duduk, dari kiri] Iman Mustafa, Shahrul Azan Abdullah dan Badruzzaman Mohamad.

Nak dipendekkan cerita lagi, tiadalah beroleh kejuaraan akan team UIAM walau betapa kerapnya berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir dalam tempoh ini. Boleh dibayangkanlah betapa aku sendiri pun kadang-kadang pelik dengan keputusan juri pusingan akhir setiap kali ia berlaku [walaupun banyak juga yang sememangnya aku tahu team UIAM tak layak menjurai pun dari penilaian prestasi mereka di pentas akhir] apatah lagi beban emosi yang ditanggung adik-adik terutamanya “Quartet terhebat sepanjang zaman”. Menangis-nangislah mereka berhari-hari tambahan pula tiada dapat akan mereka menjumpai batu belah batu bertangkup demi membunuh segala rasa kempunan di jiwa yang bertimpa-timpa itu. Haha

Quartet terhebat sepanjang zaman

Aku dedikasikan segmen khas dalam entry di bawah sub-heading ini buat keempatan utama paling tabah sepanjang zaman iaitu Muhd Nuriman bin Mustafa Albakry, Badruzzaman Mohamad, Shahrul Azan Abdullah dan Maryam Jamilah Abd Manaf. Aku mengenali mereka sejak zaman mereka menjadi junior di latihan-latihan dan penyokong juga pengiring pasukan ketika latihan menjelang Pesta Pantun MAKUM 2010 yang mana ketika itu Maryam Jamilah merupakan peserta simpanan, Iman Mustafa masih berangan pantun-pantunnya paling sedap ketika latihan dan selalu sentap kalau ditegur, Azan pula dengan kegemilangan rambut jatuh tutup dahinya meraikan Kpop culture barangkali dan Zam yang masih kurus sihat dan hensem turut berlatih menari bersama Nafastari ketika itu.

Penyertaan kali pertama mereka berempat pada 2011 terus sahaja layak ke peringkat akhir iaitu Pesta Pantun Bestari yang terngiang-ngiang kesadisan prestasi mereka sehingga sekarang [mana taknya rakaman perlawanan akhir masih kekal di laman youtube haha] sehinggalah 3 daripada mereka selamat menyudahkan pengajian sarjana muda tahun lepas, mereka kempunan menggondol juara.

pantun 8

Penyertaan julung-julung kali mereka berempat mewakili UIAM; Naib Johan Pesta Pantun Bestari UM 2011.

Namun merekalah yang boleh aku katakan [di sebalik sekor-sekor poyo, mengada-ngada, drama, emosi, kurang ajor, melawan cakap, kutuk belakang aku (korang ingat aku tak tahu??) dan pelbagai lagi ke’mazmumah’an] keempatan inilah merupakan yang paling tabah, cekal, kuat semangat, hebat dan bergaya sekali! Ada satu pertandingan yang aku rasakan mereka memang selayak-layaknya juara tapi aku sendiri hampir tak percaya apa yang aku dengar sewaktu pengumuman pemenang iaitu pada perlawanan akhir Pesta Pantun Bestari RTM yang ditayangkan secara langsung seluruh negara di TV1. Hanya pujian-pujian rakan-rakan yang sama-sama menonton perlawanan akhir itu sahaja yang mengubat kekecewaan itu pada keesokan paginya. Memang penjurian paling peliklah dalam sejarah hidup aku di arena pantun!

pantun 23

Naib Johan Pesta Pantun Bestari RTM 2011. Iman Mustafa turut dinobatkan Pemantun Terbaik pusingan akhir manakala team turut memenangi Anugerah Busana Terbaik.

pantun 31

Naib Johan Pesta Pantun Bestari 2012. Aku ingat lagi waktu ini aku sangat-sangat-sangat kecewa dengan prestasi Quartet Terhebat ini dan usai sahaja berakhir pusingan akhir terus sahaja aku keluar menunggu di kereta kerana tiada apa lagi yang dapat diharapkan kerana jangkaan kami akan kalah lagi sangat kuat. Rasa bangang pula buat begitu setelah kubelek-belek dalam album hanya pertandingan ini sahaja aku tiada gambar bersama-sama mereka. ;’-(

pantun 30

Naib Johan Pesta Pantun MAKUM 2012

pantun 5

Pesta Pantun MAKUM 2012. Kelihatan Azreen [Hujung kanan, belakang] dan Firdaus [duduk kiri, hadapan] yang merupakan sebahagian Team UIAM B dan penampilan pertama mereka mewakili UIAM. Azreen dinobatkan Pemantun Terbaik Keseluruhan.

Apapun ketahuilah Iman, Zam, Azan dan Muree bahawa saya berbangga berpeluang mengenali anda, dapat melihat anda berkembang ‘from zero to heroes’, merasakan getaran jiwa peserta-peserta universiti lain terhadap anda setiap kali pertandingan dan bersama-sama jatuh bangun anda selama tempoh tersebut. Semoga apa yang anda semua dapat dari pengalaman berpantun di sini memanfaatkan anda di peringkat kehidupan anda semua yang seterusnya! Anda berempat memang power and you have indeed inspired me so much!!! Allahu yubaarikum!

pantun 9

Azan dan Iman. Entah mengapa rambut Azan sebegitu rupa~

pantun 10

Muree dan Zam.

pantun 11

Zam.

pantun 12

Iman.

pantun 14

Azan : Aku rasa aku paling choi tadi. Muree : Ye ke?? Aku rasa aku paling choii!! Aku : Hmmphh dua-dua choi!!

pantun 15

Trainer sukarelawan [dari kiri] Fifi, Nadeeah dan Marlina.

pantun 16

Trainer sukarelawan Izwan sebelum menyambung kerjaya di Politeknik Kuching.

pantun 17

Azan.

pantun 18

Muree.

pantun 20

Mereka di awal kerjaya dalam pantun tak pandai pakai tengkolok lagi. Mereka jugalah mempopularkan busana orang-orang kampung sebelum merdeka sewaktu pertandingan pantun.

pantun 24

Busana solo yang mendapat pujian ramai akan warna pastelnya yang menawan itu.

pantun 25

Mereka memang nampak macam empat sekawan yang baik tapi masing-masing ada kesengalan tersendiri yang selalunya mendesakkan jiwa sesama mereka sendiri juga orang lain! haha

Pasca Era Quartet Terhebat

Pesta Pantun MAKUM 2012 merupakan pertandingan keempat dan terakhir disertai Quartet Terhebat, iaitu keempat-empatnya melayakkan mereka ke pentas akhir namun kesemuanya juga sekadar Naib Johan.

Kemarau Juara berlanjutan pula dengan gandingan-gandingan terbaru selepas itu. Dalam tempoh ini juga pengkaderan pemantun-pemantun baru UIAM terus dibuat dari semasa ke semasa yang menemukan kami dengan individu hebat seperti Azreen Sani, Firdaus, Siti Sazarin, Syarifah Nadhirah, Nuratiq, Fatin Aqilah, Asrul Mohamad, Syazwan, Wani, Amelia dan lain-lain.

pantun 19

Tempat ketiga Pesta Pantun Integerasi Budaya UKM 2012 membariskan [dari kiri] Azreen, Azan, Zam dan Iman.

pantun 29

Team A UIAM dinobatkan Naib Johan Pertandingan Berbalas Pantun Antara Belia 2013 membariskan [dari kiri] Iman Mustafa, Marlina Malin, Maryam Jamilah dan Asrul Mohamad.

pantun 33

Team B UIAM sewaktu Pesta Pantun Antara Belia-DBP membariskan [dari kiri] Azreen, Fatin dan Zam.

pantun 28

Naib Johan Pesta Pantun Bestari 2013 membariskan [dari kiri] Zam, Syazwan, Mubasysyarah Mardhiah dan Iman Mustafa. Ini merupakan penampilan sulung Syazwan sebagai ketigaan utama mewakili UIAM.

Akhirnya setelah 10 TAHUN

Membariskan keempatan utama yang pertama kali digandingkan bersama-sama, alhamdulillah pada tanggal 16 Mac 2014 yang lalu UIAM dinobatkan JUARA setelah kali terakhir memenanginya pada 2003! Menangis kegembiraanlah kami [kecuali aku yang hati kering dan berair mata paling mahal] terubat juga kempunan kami bertahun-tahun ini. Syukur dan tahniah buat team UIAM yang dibarisi Syazwan, Azreen, Fatin dan Firdaus. I have to say that I underestimated you and you have proven to me that I was wrong. You rocked it during the final and it wasn’t long after the last pantun “bought” during the final that  it was clear to me and us there was nothing to deny UIAM from being hailed as CHAMPION again after 10 years! Alhamdulillah! Tahniah dan terima kasih buat kamu berempat! Semoga kejayaan ini menginspirasikan junior-junior selepas kamu 10 tahun mahupun 20 tahun lagi, insyaAllah!

pantun 22

JOHAN Pesta Pantun Integerasi Budaya UKM 2014 membariskan [dari kiri] Azreen, Firdaus, Fatin Aqyla dan Syazwan.

Track record team pantun UIAM – “The Unsung Heroes”

Alhamdulillah walaupun sekadar hero tak didendang di Taman Ilmu dan Budi ini, inilah serba sedikit pencapaian UIAM di arena pantun. Turut ditandakan pertandingan-pertandingan yang diwakili Quartet Terhebat. hehe

2000 – JOHAN, Pesta Pantun MAKUM IPTA
2001 – JOHAN, Pesta Pantun MAKUM IPTA
2002 – Naib Johan, Pesta Pantun MAKUM Rakan Muda IPTA [Johan : USM]
2003 – JOHAN, Pesta Pantun Piala Canselor, MMU Melaka
2003 – JOHAN, Pertandingan Berbalas Pantun Bulan Bahasa dan Sastera Negara, DBP & DBKL
2004 – Separuh Akhir, Temasya Pantun Intervarsiti 3 Penjuru, MMU Cyberjaya
2005 – Separuh Akhir, Temasya Pantun Intervarsiti 3 Penjuru, MMU Cyberjaya
2006 – Naib Johan, Pesta Pantun Piala Canselor, MMU Melaka [Johan : UPM]
2006 – Saringan, Pesta Pantun MAKUM DBP IPTA
2008 – Ketiga, Pesta Pantun Bestari UM
2009 – Naib Johan, FESTKUM [Johan : UKM]
2010 – Naib Johan, Pesta Pantun MAKUM [Johan : USM]
2011 – Naib Johan, Pesta Pantun Bestari UM [Johan : USM] – Quartet Terhebat
2011 – Naib Johan, Pesta Pantun Bestari RTM [Johan : UM] – Quartet Terhebat
2012 – Ketiga, Pesta Pantun Integerasi Budaya, UKM [Johan : IPGBM, Lembah Pantai]
2012 – Naib Johan, Pesta Pantun Bestari UM [Johan : USM] – Quartet Terhebat
2012 – Naib Johan, Pesta Pantun MAKUM [Johan : USM] – Quartet Terhebat
2013 – Naib Johan, Pertandingan Berbalas Pantun DBP-BELIA [Johan : UKM]
2013 – Saringan, Pesta Pantun Integerasi Budaya, UKM
2013 – Naib Johan, Pesta Pantun Bestari UM [Johan : USM]
2014 – JOHAN, Pesta Pantun Integerasi Budaya, UKM

Rumusan dalam tempoh 14 tahun [2000- awal 2014]:-
a. 5 kali Johan;
b. 10 kali Naib Johan; 6 daripadanya tewas dengan USM; 3 daripadanya diwakili oleh Quartet Terhebat kecuali satu iaitu sewaktu Quartet Terhebat kalah dengan UM secara langsung di televisyen; Haha
c. 2 kali Tempat Ketiga;
d. 2 kali kalah di Separuh Akhir;
e. 2 kali kalah di peringkat saringan; dan
f. Aku takkan puas selagi UIAM tak kalahkan USM untuk sekurang-kurangnya 6 kali lagi di pentas akhir! owh my, adakah ini jahat??!! Anggaplah ini persaingan sihat buat yang berkenaan yeeeee hehehe

pantun 21

Saja-saja masuk Pantun Sezaman sempena Hari Kraf Kebangsaan, UIAM secara tak rasmi menghantar 3 team terdiri daripada senior-senior dan Quartet Terhebat. Tak kira wakil UIAM lah since pergi sendiri-sendiri. hehe

Prioriti bagi 2014 dan akan datang

Penghujung tahun lepas lagi sudah aku suarakan pada rakan-rakan kepantunan betapa aku nak berehat dari kepantunan ini malah telah juga menguatkan azam tersebut pada tahun 2014 ini. Kasih yang dah lama tertumpah bersama team pantun UIAM membuatkan “janji” ini “dimungkiri” jua pada hari-hari menjelang pertandingan baru-baru ini; turun juga menjenguk latihan bersama junior-junior… mujur juga terbalas dengan kejuaraan. Alhamdulillah, terima kasih sangat buat kesungguhan, daya saing dan sikap tidak berputus asa team UIAM!

Cadangnya nak biasakan diri “tak menyebok” lagi ke UIAM maklumlah dah nak dekat-dekat menamatkan zaman bujang ni, esok dah beranak-pinak memang anak binilah paling utama dalam hidup pula.

Ingin juga membukukan pantun-pantun yang pernah dikarang selama ini, cuma masih tercari-cari arah ke situ; bagaimana rupa buku itu nanti? berbentuk jual jawab kah? tebal bak “Kurik Kundi Merah Saga” kah? atau sekadar “coffee-table book” penuh gambar-gambar dari koleksi fotografi sendiri~ tengoklah macam mana.

Pernah juga dijemput menjadi hakim pertandingan, namun masih belum bersedia. Aku rasa baik aku mengajar dengan cara berkongsi perspektif pantun aku dengan khalayak lebih besar melalui media sosial dan sebagainya, iaitu dalam erti kata lain aku tidak lagi mengehadkan diri sebagai “milik eksklusif” team pantun UIAM. Aku lebih selesa mengajar malah seronok dan puas berkongsi “standard” pantun aku dengan orang lain berbanding mengadili orang yang tak tahu menahu standard pantun yang aku inginkan. Mungkin berkongsi di kelas-kelas, bengkel-bengkel atau apa-apalah sahaja yang bukan berbentuk aku memenangkan atau mengkalahkan pantun seseorang semata-mata.

Ada juga terbit nafsu nak menyambung kesarjanaan dalam puisi Melayu dan pantun sebagai pengkhususannya.

Pertandingan pantun telah banyak melalui perubahan-perubahan ketara dalam tempoh hampir 15 tahun ini. Ada yang bagus namun ada jua kepelikan yang tidak pernah aku sukai. Begitu juga dalam isu “favoritism” yang mana setiap pertandingan pun di pelopori oleh pencabar-pencabar yang sama dari universiti yang sama sejak bertahun-tahun seolah-olah penguasaan pantun di kalangan mahasiswa masih tidak seimbang walaupun telah menyertai pertandingan pantun sejak bertahun-tahun [sebab tu aku rasa nak mengajar/ berkongsi daripada mengadili].

Belum cakap bab pantun sekolah-sekolah lagi, haihhh~ [aku akan tulis bab Perkembangan Pertandingan Pantun ni dalam entry akan datang insyaAllah.]

Begitulah serba sedikit bab “Aku dan Pantun, Pantun dan Aku”. Semoga bermanfaat!

10 thoughts on “Perkara Pantun #1 : Pantun dan Aku, Aku dan Pantun

  1. yup, undeniably saya pun berfikiran macam abang raz masa team senior dah bersara. saya ter’underestimate’ team peralihan sebab mereka kurang pengalaman. Tapi lepas melihat kepada effort, attitude, passionate, maturity diorang dalam mempersiapkan diri sebelum pertandingan, I got the feeling that they will make a change. Now they proved it. One more, I was grateful that the selection of the main quartet was not based on seniority. Maksud reen, membawa aten qyla ke depan🙂

    1. Aku rasa selection team harus kekal begitu, iaitu menguji kemahiran mengarang pantun jual mahupun belian dalam keadaan tertekan, dalam masa yang sama kita boleh tengok semangat berlawan yang paling kuat dan mental preparation yang terbaik setakat hari selection itu. Seniority tu sepatutnya menjadi perkiraan juga cuma bukan yang paling utama apatah lagi dengan keadaan number of appearance masing-masing dalam pertandingan tak sama. Just my 2 kupang~

  2. Assalamualaikum saudara,
    Maaf sy nak mencelah disini…. dari penulisan, cerita dan pengalaman awak ni, saya yakin awak ni org yg penuh sastera dan berseni… heheh, saya juga pernah menyertai pantun masa tahun 1996 & 1997.. mewakili negeri johor ke terengganu… tapi kami kalah pada peringkat awal. Masuk maktab, sambung lagi berpantun, juga lawan di terengganu tp kalah juga… sobsobsob… hehe, sekarang ni, dah jadi cikgu kena latih pula budak2 pantun utk pertandingan.. sy mencari2 kalau ada jurulatih2 pantun yg mempunyai pengalaman yg luas dan ilmu yg dalam tentang bagaimana nak latih murid berpantun… sy seorang rasa xcukup nak mantapkan team saya dek kerana kekurangan ilmu, kurang pengalamn sbb dah bertahun meninggalkn bidang ni… sudikah kiranya kalau mencurahkan ilmu awak ni ke team pantun saya, yg bakal bertanding bulan 4 ni 21hb… sekolah rendah je kami ni… kalau sudi, bolehlah kita bincang2 lebih lanjut… ni no fon saya… 0176269286..

    1. Ya Allah, minta maaf sangat Cikgu Liza Azliza, saya dah lama tak belek blog ni tak perasan ada komen-komen yang urgent. Takpe insyaAllah satu masa nanti saya akan buat video tutorial pantun, tapi nak kene diet sikit dulu sebab tengkok tgh kembang nanti tak hensem dalam video hehe

  3. Assalamualaikum wbt

    Hari ini kerana entri blog saya, saya mencari di Google dengan kata ‘Pesta pantun kebangsaan 2001’ dan terjumpa blog saudara. BEgitu jauh perjalanan dan tahniah kerana masih konsisten.

    Saya merupakan salah seorang pemantun kisas yang saudara ‘tepek’ gambarnya di atas. Alhamdulillah kami berjaya menjadi Naib Johan pada tahun 2000 dan menjadi Johan pada tahun 2002. Antara yang banyak membantu adalah Abang Saiful

    Mohon izin ambil gambarnya ya!

  4. Assalamualaikum, abang raz🙂
    Macam ni. Saya pelajar KISAS. Nak kecilkan skop, pemantun kisas 2014. Sebelum tu, tahniah atas semua pencapaian dlm pantun yg tertera kt blog ni.. Kami pemantun tahun ni Alhamdulillah dapat no3 peringkat negeri antara sekolah2 kpm, johan kebangsaan antara sekolah SBT dgn bimbingan Cikgu Rosnaini dan Cikgu Saripah. Harap abang dapat kongsi tips2, nasihat atau apa2 yg berkaitan dgn pantun. Terima kasih dan maaf🙂

  5. Assalamualaikum en. raz…saya ikhwan dari Kolej Profesional MARA Bandar Melaka, kolej kami akan bertanding dalam satu pertandingan pantun kemerdekaan 21/8 smpi 23/8/15. pihak kami sedang mencari jurulatih utk pasukan debat kami yg baru ditubuhkan.kalau encik berminat untuk menjadi jurulatih pasukan kami..saya minta jasa baik encik untuk call/sms saya di no. 016-7224459…encik juga boleh respond melalui emel…respond drpd pihak encik amat saya hargai.terima kasih.

  6. apa perkhabaran nora (satu batch dgn arwah hisham musa)?. tercari-cari pasal pantun akhirnya terjumpa post ini..teringat masa wakil uia pantun dulu2 ( nora, arwah hisham, aku & khairul othman)

    1. Saya sihat hihi nanti pm kat fb ye ummu safiyyah… Jejak kasih team pantun… Sekali pantun dilenggang seumat insan mengenang manis!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s