Kelmarin dapat permintaan dari seorang teman untuk mengarangkan serangkap dua pantun untuk beliau selitkan sewaktu menjadi emcee Family Day di syarikat tempatnya bekerja nanti. Aku bayangkan Family Day korporat yang biasa-biasa tu berpanas dari pagi hingga ke petang penuh dengan aktiviti pekerja-pekerja “membuli” boss-boss masing-masing dan sebagainya… jadi aku siapkan 3 yang awal.

Tapi bila ditanya semula, rupanya untuk majlis pembukaan Family Day sewaktu Dinner malam sebelumnya atau something like that lah haha

Maka terkocoh-kocohlah aku menyiapkan sekurang-kurangnya dua lagi pantun berbaur umum tidak terlalu spesifik kepada Family Day outdoor yang biasa-biasa tu kerana teman itu perlu menghantar skrip emcee untuk tapisan pengurusan tertinggi [woww] dalam tempoh sejam lebih sahaja lagi waktu itu.

5 rangkap pantun 6 kerat, hayatilah!

PANTUN HARI INI FAMILY DAY! YEAY!!!

Balik tualang tampak erat
Akar beringin habis menyimpul
Keras tautnya umpama batu
Adik abang jauh dan dekat
Hari ini kita berkumpul
1000 jiwa menjadi satu

Bawalah gelama berilah senangin
Jangan diberi kepada saya
Bapak ketam sepitnya pun dah segenggam
Sekian lama berhawalah dingin
Hari ini berpayung suria
Putih kan menghitam hitam pun jadi legam

Tuan ke sana perginya lama
Buah kuini saya bekalkan
Dimakan enak begitu sahaja
Anggun pesona matang berkarisma
Hari ini kita serlahkan
Sisi anak-anak jiwa remaja

Menggulai ayam janganlah lupa
Letak tauhu santan bersari
Kuah nan sarat semakin pekat
Hari semalam tak sempat menyapa
Berselisih bahu di majlis ini
Hati yang erat semakin mengikat

Pati ditumbuk di petang redup
Perlahan-lahan kudrat dikerah
Beras dan sekamnya bercerai juga
Dalam sibuk menghayati hidup
Berpesan-pesan pada ukhuwah
kekal hendaknya sampai ke syurga!

ATBK – Batu Caves – 27.12.13

Owhh silakan sahaja anda gunakan pantun-pantun tersebut untuk majlis anda, tiada larangan hehe ubahsuailah mana yang perlu mengikut majlis anda! 🙂

Saya bertuah sempat juga merasa Family Day korporat sewaktu makan gaji dulu-dulu. Sekarang? Hmmm berapa tahun lagilah pula nak menganjurkan Family Day~ insyaAllah umur panjang rezeki murah satu hari nanti 🙂

Kepada majikan-majikan, anjurkanlah Family Day untuk pekerja-pekerja anda sebagai penghargaan. Ia tak sama dengan bonus, ia lebih dari sekadar wang.

Ia ukhuwah kerana Allah! [amboi]

Tinggalkan komen